GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pengangkutan menangani segera masalah berkaitan tempahan tiket penerbangan secara dalam talian.
Presidennya, SM Mohamed Idris, berkata CAP menerima banyak aduan daripada pengguna berhubung perkara itu.
Katanya, ia sering berlaku kepada pengguna yang tidak begitu celik komputer atau berhati-hati ketika menempah tiket terutama melibatkan pilihan tambahan seperti insurans penerbangan dan pemilihan tempat duduk yang melibatkan kos tambahan.
"Seseorang yang menempah tiket secara dalam talian perlu memadamkan tanda pada kotak yang disertakan bersama pernyataan bahawa jika tanda tersebut tidak dipadam maka ia dianggap mereka telah bersetuju untuk membeli polisi insurans perjalanan.
"Kotak pratanda ini berada dalam muka surat yang penuh dengan perkataan dan ini akan membuatkan mereka (pengguna) mudah terlepas pandang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, syarikat penerbangan sering melindungi diri mereka dengan pernyataan seperti "Saya telah membaca dan memahami Pernyataan pendedahan Produk."
Katanya, antara aduan diterima CAP ialah pengadu terpaksa membayar tambahan RM98 terhadap tiket penerbangan asal pergi balik Pulau Pinang-Bangkok sebanyak RM606 atas alasan tambang dalam talian berbeza sepenuhnya kerana tambang itu belum disahkan.
Mohamed Idris berkata, di New Zealand syarikat penerbangan Jetstar secara rasmi telah menghentikan caj tersembunyi sejak Mac tahun ini selepas Consumer NZ dan rakan Australia, Choice mengadakan kempen 'Ditch the Tick' selama setahun.
"Pihak berkuasa United Kingdom (UK) Financial Conduct Authority juga merancang untuk mengharamkan prapemilihan tambahan di bawah Peraturan Kontrak Pengguna", katanya.
Sehubungan itu, katanya, CAP menggesa syarikat penerbangan tempatan untuk turut sama menghapuskannya.
"CAP meminta Kementerian Pengangkutan mempertimbangkan dengan serius bagi melaksanakan Peraturan Kontrak Pengguna UK (dilaksanakan pada 13 Jun 2014) untuk melindungi pengguna," katanya. - BERNAMA
PRESIDEN CAP, SM Mohamed Idris menunjukkan infografik mengenai pengguna "terpedaya" oleh tempahan tiket penerbangan atas talian pada sidang media di Bagan Serai. - Foto Muhammad Suhaib Mohd Shapiee
PETIKAN: BERITA HARIAN ONLINE
No comments:
Post a Comment